KELESTARIAN BAHASA
Keadaan yang tidak berubah atau kekal terpelihara seperti asal atau asli
Sunday, 20 September 2015
Tuesday, 22 May 2012
GURU OH GURU - USMAN AWANG
Dialah pemberi paling setia,
Tiap akar ilmu miliknya,
Pelita dan lampu segala,
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa;
Dialah ibu, dialah bapa juga sahabat,
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat,
Pemimpin yang ditauliahkan,
Seribu tahun katanya menjadi hikmat;
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca;
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya,
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota,
Di bangunan tua sekolah hulu Terengganu,
Dia adalah guru mewakili seribu buku,
Semakin terpencil hidupnya di ceruk desa,
Semakin bererti tugasnya kepada negara;
Jadilah apa pun pada akhirnya kehidupanmu, guruku,
Budi yang diapungkan di dulang ilmu,
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat,
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
Sunday, 25 December 2011
Kuiz tatabahasa
Kuiz Tatabahasa
Sila pilih jawapan yang sesuai.
- Kaki Abu ________ pada akar kayu itu lalu tersungkur.
- terbelit
- terpijak
- tersadung
- terjerang
- Puan Hidayah sedang ____________ ubi keledek di dapur.
- merebus
- menyalai
- menanak
- menjerang
- "Jangan _________ di bilik bacaan ini," tegur ibu.
- berbual
- berbisik
- berbahas
- bertengkar
- Sepagian Pak Hamid menangkap ikan dengan menggunakan _________.
- jala
- jaring
- pukat
- perangkap
- Adik diam apabila __________oleh ibu.
- dipangku
- mengambil
- mengaut
- membungkus
- Emak ________ nasi di dalam periuk untuk diletak di dalam pinggan.
- menyenduk
- mengambil
- mengaut
- membungkus
- Murid-murid bergotong-royong __________ kawasan sekolah.
- menyusunkan
- menyelerekan
- membuangkan
- membersihkan
- Ibu sedang _________ ikan yang dibeli di pasar.
- menghiris
- mencuci
- menyiang
- memotong
- Pembantu kedai itu mengambil _________ daripada pelanggan.
- arahan
- harapan
- pesanan
- permintaan
- Taufik perlu _________ sekuat hati untuk memastikan mendapat tempat pertama.
- berkorek
- berenang
- memecut
- mendayung
- Kita mestilah belajar bersungguh-sungguh untuk ____________ cita-cita kita.
- mendapat
- mencapai
- mengangkat
- menjadi
- Juruhebah ___________ rancangan untuk kanak-kanak.
- mengadakan
- menyiarkan
- menjalankan
- mengelolakan
- Guru ibarat lilin, membakar diri ________ orang lain.
- mengajar
- menerangi
- menjaga
- mendidik
- Kemajuan negara tercapai adalah kerana ___________ pemimpin dan kerjasama rakyat.
- kebijaksanaan
- kemalasan
- kebangsaan
- kegemaran
- Yi Ling telah bulat hati untuk ___________ arnab yang cedera itu.
- membakar
- menyelamatkan
- mencari
- mendongak
- Lauk pauk ________ di atas meja.
- terhidang
- kehidangan
- menghidang
- hidangan
- Kai Cheng rajin menyiapkan ________ yang disuruh oleh cikgu.
- ditugas
- tugaskan
- tugasan
- tugas
- Pakaian hasil __________ Mui Mui mendapat sambutan orang ramai.
- mereka
- rekaan
- rekakan
- reka
- Kim Seng _________ beberapa orang bermain di tepi jalan.
- ternampak
- terjumpa
- terkejut
- terpijak
- Salmah dilantik sebagai ___________ kelas.
- tertua
- ketua
- menua
- diketuai
Sunday, 11 December 2011
Selamat sejahtera,
Hari ini kita akan belajar tentang Penjodoh Bilangan.
Apakah penjodoh bilangan? Penjodoh bilangan digunakan sebelum sesuatu kata atau nama yang menunjukkan jumlah atau bilangan.
Kadangkala kata bilangan disertai penjodoh bilangan seperti batang, buah, ekor, orang, dan sebagainya.
Contoh Ayat;
1. Kakak menggunting kain dengan menggunakan sebilah gunting.
Sekarang, mari kita lihat contoh-contoh penjodoh bilangan berikut :
| Penjodoh Bilangan | Penggunaannya | Contoh |
| angkatan | untuk sekumpulan manusia atau benda | kapal, tentera, pelukis, penulis |
| baris | untuk kedudukan benda/manusia yang berbaris | orang, kedai, rumah, pokok, tulisan, ayat, meja, kerusi |
| batang | untuk menunjukkan benda-benda yang panjang | sungai, lilin, galah, tiang, pen, pokok, gigi, tongkat, kapur, |
| bentuk | untuk benda-benda kecil yang berkeluk | mata kail, subang, cincin |
| berkas | untuk benda-benda yang diikat bersama-sama | kunci, lidi, kayu |
| bidang | untuk benda-benda yang terbentang luas | tanah, kain, sawah, permaidani, layar, kebun, tikar |
| biji | untuk jenis buah, sayur-sayuran, dan benda-benda yang kecil | labu, lobak, kubis, terung, bola, cawan, guli, belon, ketupat, batu, telur, gelas |
| bilah | untuk benda-benda yang tajam | parang, pisau, golok, gunting, sabit, keris |
| buah | untuk benda-benda besar dan padu, yang tidak mempunyai bentuk yang tertentu | kereta, negeri, rumah, buku, kotak, radio, bandar, kampung, piano, komputer, kamera |
| butir | untuk bendabenda yang bulat atau kecil | telur, batu, manik, beras, peluru |
| das | untuk bunyi letupan atau tembakan | meriam, pistol, senapang |
| ekor | untuk binatang | nyamuk, semut, kuda, buaya, musang, gajah, arnab, rama-rama |
| gugus | untuk buah-buahan ataupun benda-benda | anggur, langsat, kelapa sawit, sawit, kunci |
| helai | untuk benda-benda yang nipis dan lebar | daun, baju, kertas, kain, tuala, rambut, rumput |
| kaki | untuk benda-benda yang bertangkai | payung, cendawan, bunga |
| ketul | untuk benda-benda yang berketul dan padu | ais, daging, tulang, sabun, roti |
| laras | untuk senjata api | pistol, senapang, meriam |
| orang | untuk manusia | guru, jururawat, doktor, pekedai, runcit, posmen |
| pasang | untuk bends dan manusia yang berpasangan | pakaian, kasut, subang, suami isteri, anak |
Sekarang, cuba jawab soalan-soalan yang di bawah ini. Selamat menjawab.
1. Puan Shiela membawa se______ payung.
A. buah
B. kaki
C. bilah
D. batang
2. Kakak sedang menulis se______ surat.
A. helai
B. pucuk
C. keping
D. potong
3. Kakak memakai se______ anting-anting emas.
A. pasang
B. bentuk
C. butir
D. biji
4. Emak memotong daging dengan menggunakan se______ parang.
A. keping
B. pucuk
C. bidang
D. bilah
5. Abu membela beberapa ______ kambing.
A. rawan
B. ekor
C. buah
D. naskah
Friday, 9 December 2011
Cintai Bahasa Kita
Bahasa Melayu? Apa kepentingannya? Tidak lulus pun tidak jadi masalah. Bukan seperti Bahasa Inggeris. Inilah di antara persoalan-persoalan yang sering berligar-ligar di minda pelajar-pelajar kita. Kurangnya rasa cinta terhadap BM mungkin juga berpunca daripada penekanan yang diberikan oleh guru BM itu sendiri.
Hakikatnya, ramai guru yang mengajar BM lebih berkiblatkan kepada peperiksaan. Sepatutnya sebagai mentor dan fasilitator, guru itu perlu menyemai rasa cinta terhadap BM di dalam naluri anak-anak didiknya melalui kaedah pembelajaran yang inovatif jangan hanya bergantung kepada bahan pengajaran yang sedia ada.
Guru juga harus berjaya menyakinkan dirinya sendiri sebelum menyakinkan para pelajarnya tentang keindahan bahasa dan budaya melayu. Seandainya, guru berjaya menyemai rasa cinta terhadap BM di kalangan para pelajarnya, secara tidak langsung tugas guru untuk mengajar akan menjadi lebih mudah. Para pelajar yang berminat akan dengan rela hati mendalami tentang BM secara kendiri tanpa sebarang paksaan.
Tanggungjawab untuk merealisasikan keindahan bahasa dan budaya melayu sememangnya dapat dilaksanakan terutama sekali melalui kaedah pembelajaran yang inovatif ditambah lagi dengan aktiviti-aktiviti bahasa dan budaya yang kreatif serta dapat memberikan nilai tambah dalam memperkasakan dan memartabatkan penggunaan BM.
Ayuh, ambillah peluang dengan kerjaya kita ini. Berilah pendedahan yang lebih meluas lagi kepada anak didik kita dengan aktiviti-aktiviti yang telah disediakan. Usaha yang berterusan pasti akan menghasilkan ganjaran yang lumayan.
Subscribe to:
Comments (Atom)